Oleh: Aliyaa Azmi
BACHOK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kestabilan politik dan dasar ekonomi Malaysia menjadi faktor utama negara sering menjadi rujukan serta perhatian pemimpin dunia dan rantau Asia.
Menurutnya, beberapa pemimpin termasuk Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menghubunginya untuk menyatakan minat terhadap pendekatan pentadbiran Malaysia.
“Mereka menghubungi saya bukan sebab saya Perdana Menteri, tetapi kerana kerajaan negara kita yang stabil,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI peringkat Kelantan.
Jelasnya, selain kestabilan pentadbiran, dasar ekonomi yang kukuh turut menarik pelabur walaupun dunia kini berdepan cabaran akibat ketegangan perdagangan yang dicetuskan Amerika Syarikat (AS) di bawah pimpinan Donald Trump.
“Pada masa sama, dasar ekonomi kita mampu menarik pelaburan dan tenang menghadapi keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengenakan tarif (timbal balik) yang tinggi,” ujarnya.

Anwar mengakui keputusan Trump mengenakan kadar tarif tinggi terhadap negara seperti China boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi rantau ini.
“Kita hubungi semua pemimpin negara ASEAN dan nasib baik Trump tangguh (peningkatan tarif) kepada banyak negara termasuk ASEAN dan Malaysia.
“Bagaimanapun, Trump kenakan tarif terlalu tinggi kepada China,” katanya.
Pentadbiran AS difahamkan menangguhkan pelaksanaan tarif baharu terhadap hampir 90 negara selama 90 hari, bagi memberi ruang kepada rundingan perdagangan. Bagaimanapun, tarif import terhadap China dinaikkan serta-merta kepada 125 peratus, memburukkan lagi ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan serta barisan EXCO kerajaan negeri.
Baca juga: