PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung telah mengambil langkah untuk memfailkan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk mencabar keputusan pemilihan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Petaling Jaya yang diumumkan, baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan itu mencerminkan komitmen beliau terhadap ketelusan dan integriti dalam proses demokrasi parti.
Katanya, keputusan untuk mengemukakan rayuan dibuat selepas menerima pelbagai mesej dan panggilan daripada akar umbi yang mempersoalkan ketelusan keputusan serta proses pemilihan.
“Selepas berbincang bersama pasukan, saya telah membuat keputusan untuk mengemukakan rayuan rasmi kepada JPP.
“Kami yakin PKR sebagai parti reformasi mempunyai sistem yang adil. Melalui proses ini, kami berharap segala keraguan dapat diperjelaskan,” katanya.
Chean Chung turut menyampaikan penghargaan kepada semua penyokong dan sukarelawan yang telah bekerja keras sepanjang tempoh dua tahun lalu termasuk usaha mendaftarkan anggota baharu dan menggerakkan jentera.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di bawah pimpinan Maisarah Ismail dan Nabil Halimi, yang berjaya melalui kempen bersama.
“Bagi saya, demokrasi bukan hanya soal keputusan tetapi soal proses yang telus dan berintegriti,” tegasnya, menekankan pentingnya nilai-nilai reformasi dalam memastikan keadilan kepada semua ahli parti.
Beliau turur menyeru semua pihak untuk terus mendukung semangat reformasi dan menunggu keputusan rayuan dengan penuh harapan.