Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Dalam langkah proaktif untuk melindungi ekosistem alam semula jadi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.3 juta bagi membina Santuari Kelip-Kelip di Kampung Yak Yah, Kemaman, Terengganu.
Menurut satu hantaran di Facebook rasmi KPKT, inisiatif itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu, pada Isnin.
Program itu adalah sebahagian daripada usaha Pemuliharaan Landskap oleh Jabatan Landskap Negara (JLN) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).
“Usaha ini seharusnya dijadikan contoh bagaimana keindahan landskap semula jadi boleh dimanfaatkan secara bertanggungjawab oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Seiring dengan itu, sebanyak 200 pokok bakau, 2,000 pokok berembang dan 500 pokok nipah telah ditanam di sepanjang Sungai Chukai bagi memastikan kelangsungan habitat ini.
“Santuari ini juga menyediakan kemudahan seperti jeti pelawat, pusat informasi serta perkhidmatan bot untuk menyusuri sungai dan menyaksikan pesona kelip-kelip di waktu malam,” katanya.
Difahamkan, projek itu melibatkan kerja-kerja pemuliharaan, restorasi dan rehabilitasi habitat kritikal dengan matlamat memastikan populasi kelip-kelip terus hidup subur di ekosistem Sungai Chukai.