SEREMBAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan tiga lelaki India berusia antara 35 hingga 47 tahun susulan insiden tetak menggunakan parang yang berlaku di Seremban Gateway pada malam 14 April lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din memaklumkan, kejadian yang berlaku sekitar jam 8.15 malam itu melibatkan seorang mangsa lelaki India berusia 40 tahun dan menjadi tular di media sosial.
Susulan maklumat yang diterima, polis bertindak pantas dan berjaya membuat tangkapan dalam tempoh kurang 24 jam.
“Ketiga-tiga suspek diberkas sekitar kawasan Port Dickson, Negeri Sembilan pada 15 April jam lebih kurang 5.00 petang. Polis turut merampas parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Hasil semakan rekod jenayah mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, merangkumi pelbagai kesalahan termasuk jenayah kekerasan,” jelas Mohamad Hatta.
Kes kini diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan setelah pemeriksaan perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan parah.
Suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.