Ahmad Farhan menang tanpa bertanding, Adun Semambu tewas 

INDERA MAHKOTA: Datuk Ahmad Farhan Fauzi diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Indera Mahkota dalam Pemilihan Parti Keadilan 2025.

Menurut Borang Keputusan (Borang 14) yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), seramai 1,405 ahli parti layak mengundi di cabang tersebut. 

Namun, tiada proses undian dijalankan bagi jawatan Ketua Cabang memandangkan hanya satu calon mengemukakan pencalonan, sekaligus memberikan kemenangan automatik kepada Ahmad Farhan.

Sementara itu, saingan bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang menyaksikan pertembungan sengit antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang dan aktivis reformasi Mohd Zukri Aksah. 

Keputusan akhir menunjukkan Mohd Zukri berjaya menewaskan Chan dalam pemilihan tersebut, sekaligus meraih kepercayaan majoriti perwakilan untuk mengisi jawatan nombor dua dalam kepimpinan cabang.

Keputusan ini disahkan oleh Juruaudit Digital serta dua wakil JPP, iaitu Dr Zaliha Mustafa selaku Pengerusi JPP dan Sivarasa Rasiah, Anggota JPP.

Kemenangan Ahmad Farhan dan Mohd Zukri dilihat sebagai gabungan kepimpinan baru yang bakal memperkukuh jentera KEADILAN Indera Mahkota menjelang pilihan raya umum akan datang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat