Banjir kilat Selangor: Penduduk resah, satu mesyuarat koordinasi segera diadakan esok

PETALING JAYA: Selangor sekali lagi berdepan dengan cabaran banjir kilat selepas hujan lebat yang melanda minggu ini.

Kawasan seperti Taman Melawis di Klang dan Taman Sri Muda di Shah Alam menjadi antara lokasi yang paling terkesan dengan penduduk meluahkan kebimbangan terhadap situasi yang berulang itu.

Pejabat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerima banyak aduan daripada penduduk yang menyuarakan keresahan.

Menurut Amirudin, penduduk menyatakan bahawa kelewatan dalam pelaksanaan komponen Rancangan Tebatan Banjir menjadi punca utama masalah itu.

“Susulan itu, saya telah mengarahkan Datuk Ir. Izham Hashim selaku Exco Infrastruktur Negeri Selangor untuk menyelesaikan isu-isu yang menghalang proses pembinaan usaha tebatan banjir di semua peringkat.

“Beliau (Izham) juga akan bertemu dengan penduduk yang terkesan untuk mendengar sendiri masalah mereka.

“Penyelesaian jangka panjang harus dilaksanakan secepat mungkin melalui kerjasama semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan.

“Meskipun hampir empat tahun telah berlalu, episod ngeri bah besar Disember 2021 masih terlekat dalam ingatan setiap rakyat Selangor dan tiada sesiapa mahu melihatnya berulang lagi,” tegas Amirudin dalam satu kenyataan.

Sebagai langkah awal, Setiausaha Politik beliau, Saifuddin Shafi akan memanggil mesyuarat koordinasi segera esok (Isnin).

Mesyuarat itu akan melibatkan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Diraja Klang dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk memastikan isu ini dapat ditangani dengan segera.

Anda Mungkin Berminat