PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa insentif RM1 bilion telah disalurkan kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk merancakkan produktiviti pengeluaran padi di Kedah.
“Kita bagi RM1 bilion dan ia adalah berterusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan pada Selasa, memetik laporan media tempatan.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah semalam berhubung tuntutan bayaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padinya.
Katanya, jumlah itu dilihat terlalu rendah berbanding kehilangan hasil yang dikorbankan negeri itu untuk mengekalkan kawasan tanaman padi dan hutan untuk sumber bekalan air.
Awal Februari lalu, Anwar berkata, kerajaan sudah meluluskan RM1 bilion untuk disalurkan kepada MADA sebagai insentif untuk merancakkan produktiviti pengeluaran padi di Kedah.
Beliau berkata, program peningkatan produktiviti itu dilancarkan pada akhir bulan itu.
“(Ini) usaha kita untuk meningkatkan produktiviti. Kita telah luluskan RM1 bilion untuk MADA ini yang kita akan luncurkan (program berkenaan pada) akhir bulan ini Insya-Allah.
“Ia supaya kawasan sawah yang ada penambahan RM1 bilion itu boleh menjamin penambahan produktiviti.
“Sekurang-kurangnya usaha itu dapat memenuhi daripada sekitar 56 peratus keperluan tempatan sekarang kepada 70 peratus,” katanya.