Keputusan Cemerlang SPM 2024 Cerminan Kejayaan Intervensi Pendidikan – Fadhlina

KAJANG: Keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencerminkan kejayaan pelbagai intervensi pendidikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha memperkukuh sistem sedia ada.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan keputusan tahun ini sebagai antara yang terbaik dalam sejarah peperiksaan tersebut, sekali gus menunjukkan usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara berada di landasan yang tepat.

“Keputusan ini sangat membanggakan dan menunjukkan peningkatan.

“Kita perlu mengambil beberapa pendekatan untuk terus memperbaiki pencapaian ini, khususnya dalam persediaan bagi SPM tahun ini,” katanya selepas melakukan tinjauan keputusan peperiksaan di SMK Convent Kajang, hari ini.

Beliau berkata, peningkatan itu didorong oleh beberapa faktor utama termasuk kadar kehadiran pelajar yang lebih baik dan kejayaan intervensi yang menyasarkan pengurangan jurang antara pelajar di kawasan bandar dan luar bandar.

Fadhlina turut menekankan bahawa segmen tertentu yang diberi tumpuan seperti pengukuhan pengajaran di kawasan luar bandar yang turut memberikan impak positif terhadap keputusan keseluruhan.

“Langkah-langkah yang berkait rapat dengan jurang bandar dan luar bandar telah menunjukkan impak yang signifikan. Ini adalah perkara yang akan terus kita pertingkatkan,” jelas beliau.

Menurut Fadhlina, antara fokus utama KPM termasuk peningkatan kadar kelulusan dalam subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah yang menjadi syarat untuk pelajar memperoleh sijil penuh SPM.

“Kita berjaya tahun ini. Ini bermaksud, bilangan pelajar yang layak mendapat sijil juga meningkat,” ujarnya.

Beliau turut menyeru semua pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tanpa mengira keputusan yang diperoleh.

“Mesti sambung pelajaran, tidak kira apa pun keputusan mereka. Insya-Allah, kita akan berikan sokongan itu,” katanya dengan penuh optimisme.

Fadhlina turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon, guru, ibu bapa dan masyarakat atas sokongan mereka kepada para pelajar.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, nilai gred purata keseluruhan (GPK) pada 2024 merekodkan pencapaian pada 4.49 mata berbanding 4.6 mata pada 2023.

Beliau berkata, keputusan semua mata pelajaran A juga meningkat iaitu seramai 14,179 atau 3.7 peratus memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- berbanding 11,713 calon pada 2023.

Anda Mungkin Berminat