Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkongsikan pencapaian cemerlang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dilihat berlaku peningkatan menakjubkan daripada 2.392 pasa SPM 2023 kepada 1.892 untuk tahun ini.
Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, Asyraf menyifatkan ia satu pencapaian yang amat membanggakan apabila 10 MRSM mencatatkan gred purata di bawah 1.50 berbanding hanya satu MRSM pada tahun lepas.
“Sebanyak 31 MRSM mencatatkan pencapaian luar biasa dengan GP di bawah 2.00.
Sebanyak 9 MRSM dengan pencapaian berkenaan pada tahun lalu,” ujarnya.
Ujarnya, seramai 1,670 daripada 7,650 pelajar MRSM iaitu 21.83 peratus memperoleh gred semua A iaitu kombinasi gred A+, A dan A-, meningkat berbanding 1,131 pelajar pada SPM 2023.
Dalam pada itu katanya, seramai 69 orang pelajar telah mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperoleh keputusan semua A+ yakni 10A+ dan 9A+ dalam semua subjek yang diambil.
Manalakala, seramai 8 pelajar lagi memperoleh 10A+ dan 61 pelajar memperoleh 9A+.
Katanya, ini merupakan peningkatan 50 pelajar yang dicatatkan berbanding pada tahun lepas.
“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua guru, barisan pentadbiran dan pelajar seluruh 57 MRSM yang mencatatkan keputusan amat memberangsangkan dalam SPM 2024.
“Sesungguhnya pencapaian SPM 2024 secara keseluruhannya meningkat secara mendadak dan amatlah membanggakan Alhamdulillah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada MRSM Beseri dan Balik Pulau yang menunjukkan peningkatan gred purata tertinggi dengan masing-masing menunjukkan lonjakan sebanyak 1.408 dan 1.171.
“Semua subjek teras dan elektif yang diambil oleh calon MRSM menunjukkan peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) kecuali subjek Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrikal.
“Insya-Allah MARA akan terus memperkasakan lagi kualiti dan pencapaian akademik semua MRSM tanpa sesekali meninggalkan aspek pembangunan insan yang lain termasuk matlamat melahirkan generasi Ulul-Albab yang cemerlang jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya.
Melihat kepada kecemerlangan yang memberangsangkan ini, pihaknya akan terus komited memastikan persekitaran dan ekosistem pembelajaran di MRSM sentiasa kondusif.
Ia termasuk memantau kualiti makanan di dewan selera, fasiliti asrama, kelas, musolla dan lain-lain berada pada tahap terbaik bagi memangkinkan lagi proses penjanaan generasi pelajar yang cemerlang secara holistik dan seimbang.
Baca juga: