PETALING JAYA: Pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan berlangsung bulan depan bakal menyaksikan pelaksanaan sistem ‘proportional representation’ atau sistem perwakilan berkadar, selaras dengan pindaan perlembagaan parti yang telah diluluskan dalam Kongres Khas pada 15 Disember lalu.
Pelaksanaan sistem itu yang diumumkan oleh Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh dirangka untuk menjamin keadilan dalam proses pemilihan serta memperkukuh representasi di semua peringkat termasuk akar umbi.
Ketua Cabang Johor Bahru, Mohamad Taufiq Ismail ketika mengulas mengenai perkara tersebut menyatakan keyakinannya terhadap sistem ini dalam menjamin keadilan.
Menurut beliau, sistem ini merupakan satu langkah ke hadapan yang mampu memastikan perwakilan tidak hanya dikuasai oleh kumpulan yang menang dalam pemilihan peringkat cabang.
“Walaupun ramai yang masih belum memahami sepenuhnya kaedah ini, saya percaya ia mampu memastikan wakil-wakil yang dipilih mewakili kedua-dua pihak (yang menang dan yang tewas) berdasarkan peratusan undi yang diperoleh.
“Sistem ini bukan sahaja memastikan wakil daripada pelbagai kumpulan terlibat, malah memberikan ruang kepada semua suara untuk didengari secara saksama.
“Ia juga mengambil kira margin sokongan, sekali gus menjadikan struktur perwakilan lebih adil dan seimbang” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Namun begitu, beliau tidak menafikan cabaran pelaksanaan sistem ini, terutama dalam aspek penggunaan teknologi secara menyeluruh.
“Sistem ini seratus peratus adalah dalam talian…ramai anggota-anggota yang tidak mahir tetapi inisiatif daripada peringkat pusat juga menyediakan video-video informasi yang sangat jelas menerusi medium TikTok, Facebook dan sebagainya itu sedikit sebanyak dapat memudahkan cara pemahaman bagaimana sistem ini berfungsi,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Cabang Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman turut menyambut baik sistem baharu ini, sambil menyifatkannya sebagai satu usaha memperkukuh prinsip keadilan dan demokrasi dalam parti.
“Sistem ini berpaksikan prinsip bahawa ‘yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua’.
“Ia memberi ruang seimbang kepada semua calon untuk menyumbang dalam menentukan hala tuju kepimpinan pusat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan struktur sistem perwakilan yang digunakan merangkumi dua blok utama iaitu perwakilan terpilih melalui jawatan parti dan perwakilan tambahan yang dilantik oleh calon Ketua Cabang.
“Sebagai contoh, perwakilan tetap terdiri daripada 18 jawatankuasa cabang, 18 jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 10 jawatankuasa Wanita.
Selain itu, terdapat perwakilan tambahan yang diberikan berdasarkan keahlian cabang masing-masing.
“Di Titiwangsa, kami menerima 40 perwakilan tambahan, yang turut diagihkan mengikut peratusan undi kepada calon bertanding,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa sistem ini mendorong calon-calon Ketua Cabang untuk tampil lebih proaktif dalam membina jaringan sokongan akar umbi.
Mengakhiri kenyataannya, Syed menegaskan bahawa konsep perwakilan bukan sesuatu yang asing bagi parti, malah telah diamalkan sejak dahulu lagi, cuma pelaksanaannya kini diperluaskan melalui undian dalam talian.
“Sebenarnya tetap kena pilih perwakilan… cuma sekarang ini kita luaskan untuk perwakilan tambahan mengundi dalam talian,” katanya.