PRK Ayer Kuning: ‘Suara rakyat pasti diterjemah dengan santun, terampil’ – Anwar

PETALING JAYA: Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Beliau meraih kemenangan dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan tahniah atas kejayaan tersebut.

“Tahniah kepada Dr Mohamad Yusri Bakir yang mewakili Barisan Nasional atas kemenangan di Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning yang baru selesai.

“Insya-Allah, suara rakyat pasti diterjemah dengan santun dan berketerampilan,” katanya menerusi satu hantaran ringkas di Facebook.

PRK ini diadakan susulan pemergian penyandang kerusi, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada Februari lalu.

Dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 58.07 peratus, Dr Mohamad Yusri berjaya mengekalkan DUN Ayer Kuning sebagai kubu kuat BN sejak 1986.

Dalam kempen PRK ini, Dr Mohamad Yusri menekankan manifesto bertemakan “Ayer Kuning Sejahtera Bersama,” yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi tempatan, pendidikan dan kebajikan masyarakat.

Beliau juga berjanji untuk memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum serta menolak politik perpecahan.

Kemenangan ini disambut meriah oleh penyokong BN di Dewan Merdeka, Tapah dengan kehadiran pemimpin-pemimpin utama seperti Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Anda Mungkin Berminat