PRK Ayer Kuning: PN Terus Merosot Dengan Politik Lapuk – Penganalisis

PETALING JAYA: Kekalahan parti Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dilihat berpunca akibat strategi dan pendekatan politik lapuk yang terus digunakan oleh gabungan tersebut.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat, PN masih kekal dengan elemen politik perkauman dan isu lama yang tidak relevan sekali gus hanya memburukkan lagi usaha mereka untuk meraih sokongan pengundi.

“Saya secara keseluruhannya bersetuju PN kalah kali ini kerana mereka masih lagi degil dan berlegar dengan strategi serta pendekatan politik lapuk.

“Misalnya elemen politik parti perkauman, isu lama yang didendangkan semula dan sedang ditangani oleh pihak berkuasa berkaitan kandang babi dan kaedah kempen ceramah fizikal yang kurang mendapat sambutan,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Ahad.

Dr. Tawfik juga meramalkan sekiranya PN terus menggunakan pendekatan yang sama, parti itu mungkin akan terus merosot dalam mana-mana pilihan raya kecil termasuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam pada itu, Dr. Tawfik turut menegaskan bahawa cubaan pembangkang untuk mempersoalkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga tidak berjaya.

“Selain itu, momokkan UMDAP atau memperlekeh kerjasama ini tidak berjaya dijual oleh pembangkang.

“Malah pembangkang terperangkap dengan pendekatan politik lapuk yang akhirnya menggagalkan usaha mereka untuk menawan kerusi DUN Ayer Kuning,” katanya lagi.

Calon PN, Abd Muhaimin Malek bukan sahaja gagal merebut kerusi wakil rakyat dalam PRK DUN Ayer Kuning, malah jumlah undi yang diperoleh turut merosot.

Abd Muhaimin memperoleh 6,059 undi berbanding 6,812 undi yang diperoleh calon PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, Muhammad Noor Farid Zainal.

Beliau yang juga anak tempatan dan Yang Dipertua PAS Kawasan Tapah tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir yang memperoleh 10,971 undi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat