Pengundi Protes, PSM Jadi Alternatif – Presiden PSM

PETALING JAYA: Peningkatan undi diperoleh calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning baru-baru ini disebabkan undi protes penyokong Pakatan Harapan (PH) terhadap UMNO.

Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berpandangan, ramai daripada penyokong PH tidak hadir mengundi, menyebabkan peratusan keluar mengundi menurun kepada 54 peratus.

Tambahnya lagi, mereka yang hadir bukan sahaja enggan mengundi UMNO, tetapi parti PAS juga.

“Ramai di kalangan penyokong PH tidak begitu selesa dengan undi UMNO dan mereka yang datang undi pun tidak mahu mengundi UMNO dan PAS.

“Jadi, pada pandangan saya, mereka yang mengundi kami (PSM) ini bukan kerana mereka memahami alternatif yang kita sedang tawarkan, tetapi lebih kepada undi protes,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Isnin.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, Bawani memperoleh 1,106 undi, tewas kepada calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir yang memperoleh 11,065 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek mendapat 6,059 undi.

Dengan penambahan undi lebih dua kali ganda daripada 2.5 peratus kepada enam peratus manakala jumlah undi meningkat daripada 586 kepada 1,106, PSM turut meraih kelebihan di 18 daripada 20 pusat daerah mengundi.

Malah, PSM berjaya mendahului PN dalam saingan di tiga pusat daerah mengundi (PDM) PRK Ayer Kuning iaitu Banir Utara, Kampung Coldstream dan Ayer Kuning Selatan.

Ketika ditanya mengenai masa depan parti itu menjelang pilihan raya akan datang, Jeyakumar berkata, PSM merancang untuk menyedarkan rakyat mengenai keperluan kepada satu pilihan politik yang lebih baik.

“Mereka memerlukan satu alternatif yang lebih baik, yang tidak memainkan isu-isu perkauman, tidak hanya memberi hadiah untuk mendapat undi.

“Ini semua memperbodohkan rakyat. Jadi, saya rasa isu yang penting adalah macam mana kita membantu rakyat menghadapi isu ekonomi ketika ini,” katanya sambil menambah walaupun Malaysia sebuah negara kaya, ramai dalam kalangan golongan B40 dan M40 hidup dalam tekanan ekonomi yang teruk dan terpaksa bekerja 10 hingga 12 jam sehari untuk menampung keperluan keluarga.

Berhubung kemungkinan bertanding di lebih banyak kerusi selepas melihat kepada keputusan PRK Ayer Kuning ini, beliau menjelaskan bahawa ia bergantung kepada kejayaan program mencari calon, sokongan masyarakat, kehadiran sukarelawan, serta keupayaan mengumpul dana.

“Untuk bertanding, bukan saja kita perlu calon, kita pun perlu bekerja, sukarelawan untuk kempen, kita perlu dana.

“Kempen di Air Kuning baru-baru ini, PSM membelanjakan sekitar RM80,000, jauh lebih kecil berbanding apa yang dibelanjakan oleh BN dan PN,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat