Yasin bebas, diperintah kembali ke Hospital Bahagia

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman serta memerintahkannya untuk kembali ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, sehingga diperkenan Sultan Selangor.

Keputusan itu mengatasi keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadap Yasin pada tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu diputuskan oleh panel hakim yang diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali, bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin, setelah menerima rayuan yang dimohon oleh Yasin.

Pada 22 Ogos 2024, Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan selepas memutuskan sabitan terhadap Yasin atas tiga pertuduhan berkaitan dadah. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk mengetepikan hukuman berkenaan.

Yasin, atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 50, sebelum ini didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, pada 24 Mac 2022, jam 5.30 petang.

Mengikut pertuduhan pertama, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua, Yasin juga didakwa menanam 17 pokok ganja di lokasi yang sama pada tarikh dan masa yang sama. Pertuduhan ini dibuat di bawah Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 11.05 malam pada tarikh yang sama. Kesalahan ini boleh dihukum dengan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Panel hakim dalam keputusan hari ini memutuskan untuk membebaskan Yasin dan memerintahkan beliau kembali ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk rawatan lanjut, sementara menunggu keputusan daripada Sultan Selangor.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat