Beras Melaka kini dijual dengan harga RM26 sekampit

AYER KEROH: Kerajaan Negeri hari ini melancarkan “Beras Melaka”, beras putih tempatan pertama keluaran negeri itu yang telah mula berada di pasaran sejak 26 April lalu.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, pengeluaran fasa pertama hasil tuaian padi varieti MR 297 dijual pada harga RM26 bagi setiap 10 kilogram (kg) dan boleh didapati di pasar tani serta pusat jualan barangan agro.

“Pengeluaran beras ini merupakan hasil kejayaan inisiatif kerajaan negeri yang menghasilkan benih padi sah khas untuk kegunaan pesawah tempatan.

“Buat rakyat Melaka, saya ingin mengajak semua untuk mendapatkan Beras Melaka ini.

“Kita patut berbangga kerana walaupun Melaka bukan dalam kategori negeri jelapang padi, namun inisiatif kerajaan negeri dapat menghasilkan benih padi, seterusnya mengeluarkan beras sendiri pada harga berpatutan,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Tambah Ab Rauf, langkah ini juga sebagai penyelesaian terbaik bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.

Majlis pelancaran itu diumumkan dalam satu sidang media yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, disertai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad dan EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

“Pihak kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini termasuk Jabatan Pertanian Negeri Melaka, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN),” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat