PETALING JAYA: MCA boleh bergerak sendirian sebagai parti politik, tetapi akan mengalami kesukaran untuk memenangi sebarang kerusi dalam mana-mana pilihan raya kerana sokongan kaum Cina terhadap parti itu sangat minimum.
Felo Penyelidik, Unit Literasi dan Advokasi Politik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, situasi itu juga akan membuatkan MCA mengalami kekalahan dalam semua kerusi yang bakal ditandingi.
“Bukan setakat kalah jika bertanding sendirian, bahkan MCA turut bergelut untuk mendapat pulangan deposit iaitu 12.5 peratus atau 1/8 undi bagi kerusi-kerusi yang akan ditandingi.
“Apabila kalah terus menerus dalam pilihan raya, lama-lama sesebuah parti politik itu akan terkubur ataupun hidup segan mati tak mahu, ini yang sedang menanti MCA jika memilih untuk bergerak solo dalam situasi seperti sekarang,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon yang menggesa parti itu untuk menentukan masa depannya sendiri jika Barisan Nasional (BN) terus menangguhkan keputusan yang jelas mengenai hala tuju mereka.
Bercakap pada pembukaan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian MCA Selayang 2025, Chong berkata, MCA memberi BN lebih dari dua tahun untuk penyusunan semula selepas PRU15, tetapi ketidakpastian yang berterusan dalam keputusan BN menyebabkan ahli MCA berasa ragu-ragu dan kecewa.
Jika BN masih gagal memberikan arah tujuan yang jelas, MCA perlu mengambil inisiatif untuk menentukan haluan mereka sendiri, kata Chong.
Mengulas mengenai situasi itu, Dr. Yusri berpendapat, MCA kini berdepan dilema besar berhubung kelangsungan politiknya, terutamanya kebimbangan kerjasama BN dengan parti-parti Kerajaan perpaduan akan terus menjejaskan kedudukan mereka, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“MCA kini dihantui ketakutan tersisih, memandangkan kawasan majoriti pengundi Cina dijangka terus dikuasai DAP dan PKR.
“Tanpa jaminan keselamatan politik dalam kerjasama sedia ada, MCA menyedari risiko besar terhadap masa depan mereka dalam landskap politik negara,” katanya lagi.
Melihat kepada keputusan PRU15 lalu, Dr, Yusri berkata, MCA menang di dua kerusi iaitu Ayer Hitam dan Tanjung Piai kerana sokongan orang Melayu yang merupakan penyokong UMNO.
Katanya, kedua-dua kerusi ini adalah kerusi majoriti Melayu dengan jumlah pengundi Melayu hampir mencecah 60 peratus.
Baca juga: