Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hatinya tersentuh ketika mendengar lagu ‘Solidariti Perjuangan’ yang dicipta oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Lagu itu bergema dalam Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Susulan itu, Anwar meminta lagu itu dimainkan di setiap kementerian yang ada di dalam kerajaan Madani dan bukan sahaja di Kementerian Sumber Manusia.
“Saya tidak mahu lagu ini dimainkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) saja, saya ingin lagu ini dipasang di setiap kementerian.
“Lagu menyentuh jiwa kita dan menyemarakkan semangat pekerja, saya harap pekerja jalankan kerja dengan ikhlas,” katanya ketika menyampaikan amanat di majlis tersebut.
Ketika lagu itu dimainkan, KESUMA turut menampilkan pasukan koir jabatannya yang menampilkan gerakan tari seragam dan unik sehingga meraih tepukan yang gemuruh oleh lebih 10,000 para hadirin yang hadir memenuhi Axiata hari ini.
Pada perkembangan yang sama, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan kesemua stesen televisyen dan radio tempatan diminta untuk memasang lagu ‘Solidariti Perjuangan’ sebagai simbolik memartabatkan lagi perjuangan pekerja di negara ini.