PRU2025 Singapura: Tumpuan kepada kerusi panas

SINGAPURA: Sekitar 48 peratus pengundi berdaftar keluar mengundi sehingga jam 12 tengah hari dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Singapura hari ini, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD).

Menurut laporan CNA, ELD memaklumkan bahawa seramai 1,261,449 pengundi telah hadir di 1,240 pusat pengundian di seluruh negara setakat tengah hari.

“Ini bersamaan dengan kira-kira 48 peratus daripada keseluruhan 2,627,026 pemilih berdaftar di semua kawasan pilihan raya yang dipertandingkan,” kata jabatan itu.

Barisan panjang dilaporkan terbentuk di beberapa pusat mengundi sejak awal pagi walaupun hujan lebat melanda beberapa kawasan.

Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) turut mengeluarkan amaran cuaca pada jam 6.33 pagi yang menjangkakan hujan lebat di banyak kawasan antara jam 7.15 dan 8.45 pagi.

Proses pengundian bermula jam 8 pagi selepas sembilan hari tempoh berkempen.

Sebanyak 206 calon daripada 11 parti politik, termasuk dua calon bebas, bertanding merebut 92 kerusi di 32 kawasan pilihan raya.

Parti pemerintah, People’s Action Party (PAP), telah pun memenangi lima kerusi tanpa bertanding di kawasan Marine Parade-Braddell Heights Group Representation Constituency (GRC).

Pilihan raya kali ini merupakan yang pertama buat Perdana Menteri Lawrence Wong sejak mengambil alih jawatan tahun lalu.

Isu-isu utama yang membelenggu pengundi termasuk perumahan, ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.

Kempen secara fizikal turut kembali selepas tidak dibenarkan dalam PRU2020 akibat sekatan Covid-19.

Daripada 32 kawasan, 17 merupakan GRC manakala 15 lagi adalah Kawasan Ahli Parlimen Perseorangan (SMC).

Lima kawasan menyaksikan pertembungan berbilang penjuru, termasuk perlawanan empat penjuru di Tampines GRC.

PAP meletakkan calon di kesemua 92 kerusi, manakala parti pembangkang utama, Workers’ Party (WP), bertanding di 26 kerusi.

Anda Mungkin Berminat