SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah van yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang pada Sabtu.
Menerusi video tular di Facebook, difahamkan kemalangan itu adalah lokasi sama sebuah Honda Jazz juga melanggar lampu isyarat merah dan merempuh tiga sekawan hingga maut pada Mac lalu.
Dalam kejadian sekitar jam 12.16 pagi itu, kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah van berwarna putih.
Penunggang motosikal yang dikatakan berusia 20-an itu mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Klip dashcam berdurasi beberapa saat itu jelas menunjukkan sebuah kenderaan melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal yang sedang melalui simpang.
Menerusi video lain yang tular, kelihatan orang ramai mengerumuni van berkenaan dan mempersoalkan pemandunya kenapa melanggar lampu isyarat merah, bagaimanapun pemandu itu dikatakan tidak mahu mengakui kesalahannya.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kemalangan itu.
Menjengah di ruangan komen, orang ramai berharap agar tindakan tegas dikenakan terhadap pemandu terlibat.
“Video dah ada nak siasat apa lagi. Terus je bagi hukuman sebat penjara paling kurang 20 tahun,” kata Senin Baba.
“Mohon sangat pihak MPS buat dua speed bump sebelum traffic light dari arah van tadi,” cadang Hazmi Haron.
Baca juga: