PUTRAJAYA: Seramai 78 pesalah telah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) pada Sabtu lalu selepas didapati bersalah membuang sampah kecil di tempat awam, di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Pelaksanaan PKM itu dijalankan serentak di enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor dengan fokus kepada kerja-kerja pembersihan menyeluruh termasuk siar kaki, jalan awam, sistem saliran, tandas awam serta kawasan pantai.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tindakan itu selaras dengan visi kerajaan Madani, “Malaysia bersih, rakyat sejahtera”, sebagai strategi bersepadu membanteras amalan membuang sampah di tempat awam.
Menurut beliau, tabiat membuang sampah kecil seperti puntung rokok, tisu atau tin minuman boleh membawa kesan besar jika tidak dibendung.
“Kerajaan berhasrat untuk mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan alam sekitar secara bersama.
“Jangan kita buang puntung rokok, tisu atau tin minuman di merata-rata tempat kerana ia bukan saja mencemarkan alam sekitar, malah menjatuhkan imej negara,” katanya.
Sehingga kini, SWCorp telah mengeluarkan sebanyak 1,342 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh negeri, melibatkan 1,058 warganegara tempatan dan 284 warganegara asing.
“Tangan yang membuang sampah, tangan yang perlu membersihkan. Jangan sekali kita buang sampah dan malukan nama keluarga sendiri,” ulasnya.








