Tun M perlu hentikan polemik politik ‘mengarut’

Tindakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencabar kepimpinan Perdana Menteri semasa, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) adalah satu perkara tidak wajar.

Menurut Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, perbuatan Dr Mahathir itu dilihat seperti satu ‘dakwaan’ menafikan keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Negara kini sedang menuju ke arah kestabilan politik dan sosiopolitik. Kerajaan Perpaduan yang dibentuk kini telah dititahkan dan dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Mengadakan PRU adalah suatu perkara yang mustahil kerana negara baru sahaja mengadakan pilihan raya sebelum ini dan kerajaan kini masih lagi memiliki sokongan majoriti yang kuat dalam kalangan ahli politik dalam parti-parti komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Mengadakan PRU sekali lagi itu juga hanya boleh dilakukan setelah tamat tempoh penggal kerajaan yang sudah dibentuk,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Selasa.

Noor Nirwandy turut menyatakan cabaran Mahathir itu hanya satu perbuatan yang bertentangan dengan salah satu prinsip demokrasi negara.

“Pembangkang yang baik sepatutnya mempunyai suatu bentuk desakan kepada dasar dan polisi kerajaan secara sihat, bukannya dengan mencetuskan polemik politik tanpa henti,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Nirwandy mengingatkan ahli politik, sama ada kerajaan atau pembangkang untuk fokus terhadap kesejahteraan rakyat daripada meneruskan debat politik.

“Mereka harus mencetuskan inovasi yang boleh dilakukan untuk memberi kerjasama yang baik kepada masyarakat agar mereka tidak rasa terpinggir.

“Masyarakat hanya mengharapkan suatu kestabilan politik dan kerjasama yang baik antara kerajaan dan pembangkang, bukannya perdebatan politik yang tidak membawa apa-apa faedah,” ujarnya.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan mencabar Anwar untuk mengadakan PRU bagi membuktikan sama ada mempunyai sokongan kuat rakyat atau tidak.

Perkara itu dinyatakan oleh beliau mengadakan sidang media khas di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Isnin. 

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat