Feby Putri mahu berkolaborasi dengan Noh Salleh, Siti Nurhaliza

Penyanyi dari seberang, Feby Putri menyatakan hasratnya untuk berkolaborasi dengan penyanyi tempatan, Noh Salleh dan Datuk Seri Siti Nurhaliza sekiranya diberi peluang untuk memilih mana-mana artis Malaysia untuk bekerjasama dengannya.

Feby, atau nama penuhnya Feby Putri Nilam Cahyani, 24, menyatakan bahawa dirinya merupakan peminat penyanyi utama kumpulan Hujan tersebut terutama sekali lagu Angin Kencang yang dinyanyikan oleh Noh.

“Lagu Angin Kencang merupakan lagu nyanyian Noh kegemaran saya kerana lagu tersebut sering diputarkan di media sosial.

“Saya juga dapat mengenali lagu yang dinyanyikan olehnya (Noh) berdasarkan notasi dan muzik yang disampaikan oleh Noh,” katanya ketika ditemui Malaysia Bangkit di Sidang Media Konsert Feby Putri Vol 2 ‘Detik Menit Jam’ di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu.

Selain Noh, Feby turut tidak melepaskan peluang sekiranya dia boleh berkolaborasi dengan penyanyi lagenda tanah air, Siti Nurhaliza.

Feby menyatakan dia memilih Siti Nurhaliza kerana Allahyarhamah ibu dan kakaknya merupakan peminat penyanyi tersebut.

“Saya juga dibesarkan dengan lagu-lagu hasil nyanyian Siti Nurhaliza kerana ibu dan kakak saya sangat meminati beliau.

“Lagu nyanyiannya yang paling saya minati ialah Purnama Merindu yang dikeluarkan pada tahun 1998,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Feby berjaya menghimpunkan seramai 2,500 peminatnya dalam Konsert Feby Putri Vol 2, ‘Detik Menit Jam’ dengan 16 buah lagu dalam masa 2 jam pada Sabtu di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert tersebut merupakan konsert keduanya di Malaysia selepas Konsert Feby Putri live in Kuala Lumpur yang diadakan pada Mac tahun lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat