Layari TikTok lebih 8 minit beri kesan negatif terhadap kesihatan mental

Oleh: Shafira Aziz

KAJIAN mendapati bahawa menonton aplikasi TikTok melebihi lapan minit boleh mengakibatkan kesan negatif, khususnya terhadap kesihatan mental.

Menurut penyelidik dari Charles Sturt University di Australia, kandungan (content) yang menyatakan kurus dan tidak makan itu cantik (pro-anoreksia) memang boleh mengubah persepsi pelayar media sosial hingga meningkatkan kecelaruan dalam pengambilan makanan.

“Kajian menunjukkan pendedahan kurang daripada 10 minit terhadap kandungan TikTok pro-anoreksia akan meninggalkan kesan negatif terhadap keyakinan pengguna wanita,” kata hasil kajian tersebut, lapor New York Post baru-baru ini.

Hasil tinjauan penyelidik terhadap pelajar di satu universiti di Australia mengenai penggunaan TikTok membuktikan persepsi mereka terhadap standard kecantikan dengan para penyelidik membuat pemerhatian terhadap gejala gangguan pemakanan atau orthorexia

Dengan membahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan pertama menonton kandungan makanan yang tidak teratur manakala kumpulan kedua merupakan kumpulan yang melihat kandungan neutral.

“Lebih separuh pelajar menyaksikan ‘lifestyle content’ yang tidak teratur dari TikTok, dengan ada yang memberi petua penurunan berat badan seperti makan ais dan gula-gula getah untuk membendung kelaparan.

“Kumpulan lain pula melihat ‘content’ neutral yang berkaitan dengan alam semula jadi, memasak, haiwan atau komedi.

“Kedua-dua kumpulan melaporkan penurunan terhadap kepuasan imej tubuh badan mereka, namun mereka yang terdedah kepada ‘content pro-anoreksia’ berasa lebih teruk tentang diri mereka,” katanya.

Para penyelidik turut menyatakan wanita yang menggunakan TikTok lebih dari dua jam sehari melaporkan tingkah laku makan yang lebih tidak teratur, tetapi ia bukan trend yang ketara.

Untuk mengatasi masalah tersebut, pengkaji mengesyorkan ‘kawalan dan peraturan yang lebih ketat’ mengenai pro-anoreksia, gangguan makan dan kandungan berkaitan dengan tubuh badan.

“Ada langkah-langkah semasa yang diambil untuk menghapus kandungan berbahaya, termasuk menyekat carian seperti ‘#anorexia,’ namun, ada berbagai cara pengguna menghindari kawalan ini dan peraturan lebih lanjut diperlukan,” ujarnya.

Namun, data untuk kajian ini dikumpulkan pada pertengahan 2021, hampir tiga tahun sebelum TikTok mengemas kini garis panduan komunitinya pada bulan April untuk menyekat kandungan penurunan berat badan yang berbahaya.

Anda Mungkin Berminat