Thailand lapor kes pertama disyaki strain baharu mpox lebih bahaya

BANGKOK: Thailand hari ini melaporkan kes pertama mpox disyaki jenis baharu yang lebih bahaya iaitu Clade 1 yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai kecemasan kesihatan awam global.

Ketua Jabatan Kawalan Penyakit, Thongchai Keeratihattayakorn berkata, pesakit itu adalah warga Eropah yang masuk ke Thailand dari negara Afrika. Dia kini sedang dikuarantin di sebuah hospital.

Katanya, ujian makmal sedang dijalankan namun pegawai perubatan percaya ia kemungkinan besar adalah Clade 1.

“Kami telah melakukan ujian dan sah pesakit itu mempunyai mpox serta ia bukan Clade 2.

“Kami yakin ia varian Clade 1, tetapi kami masih perlu menunggu keputusan akhir ujian makmal selama dua hari lagi,” katanya.

Strain baharu yang lebih mengancam nyawa dan mudah dijangkiti — dikenali sebagai Clade 1b — telah mendorong lonjakan kes baru-baru ini.

Clade 1b menyebabkan kematian kira-kira 3.6 peratus kes, dengan kanak-kanak lebih berisiko, menurut WHO.

Mpox, yang dahulunya dikenali sebagai cacar monyet mula ditemui pada tahun 1958 di Denmark, pada monyet yang disimpan untuk penyelidikan dan menular ke negara-negara Afrika.

Pada 15 Ogos lepas, Sweden melaporkan kes Clade 1 pertama yang disahkan di luar Afrika. – AFP

Anda Mungkin Berminat