Oleh: Hanim Nadia
SHAH ALAM: Orang ramai diminta berhati-hati ketika beriadah di Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 7 susulan kehadiran seekor buaya di tasik berkenaan pada Selasa.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan, pihaknya melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran bersama Jabatan PERHILITAN sedang mengambil tindakan selanjutnya.
“Berkenaan kemunculan seekor buaya di Tasik Shah Alam. MBSA melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran bersama Jabatan Perhilitan mengambil maklum akan perkara ini.
“Orang ramai diminta untuk berhati-hati ketika beriadah di Tasik Shah Alam Seksyen 7,” menurut pihak berkuasa tempatan itu menerusi satu hantaran di Facebook.
Sejak semalam tular di media sosial kehadiran reptilia itu di tasik berkenaan yang dibimbangi mendatangkan bahaya buat pengunjung dan pemancing ikan.
Pada 2019, seekor anak buaya tembaga ditemui berkeliaran di Tasik Shah Alam, Seksyen 14, terletak kurang 5 kilometer dari Tasik Seksyen 7.
Reptilia sepanjang 0.6 meter itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan 9.30 pagi sebelum menghubungi bomba.
Perhilitan negeri berkata, siasatan awal mendapati tasik itu tidak bersambung dengan mana-mana sungai berdekatan sekali gus menolak kemungkinan buaya terbabit datang dari sungai.
Katanya, dipercayai ia dilepaskan pihak tidak bertanggungjawab.