Nilai Ringgit kini tertinggi sejak Disember 2021

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Ringgit Malaysia dilaporkan terus melonjak ke paras tertinggi sejak Disember 2021 dan kini mencecah kepada 4.1082 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat 8.50 pagi, hari ini.

Menurut laporan yang dikongsikan oleh BFM, lonjakan itu adalah berikutan daripada pemotongan faedah AS dan pakej rangsangan dari negara China, baru-baru ini.

“Pemotongan ini adalah daripada kadar faedah AS dan China melancarkan pakej rangsangan yang bertujuan untuk memulihkan ekonominya,” jelasnya.

Dalam laporan yang sama, mata wang Asia telah mencapai paras tertinggi sejak tempoh tujuh bulan ini.

“Ini merupakan peningkatan yang ketara dan mata wang Asia kini pun turut mencapai paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan,” katanya.

Dianggarkan, lonjakan ringgit itu telah meningkat kepada 1.5 peratus dan ia merupakan prestasi terbaik di rantau Asia dan kekal kukuh sejak Februari 2023.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, baru-baru ini melaporkan bahawa Ringgit Malaysia berjaya mencatatkan prestasi kukuh pada 12 September lalu.

Dikatakan, prestasi ringgit pada ketika itu telah melepasi paras sokongan pada RM4.3259 dan paras sokongan seterusnya dijangkakan pada RM4.2128.