Tiga sekeluarga diikat, kena samun bernilai RM600,000

KLANG: Polis memburu antara 10 hingga 12 lelaki bersenjatakan parang terlibat rompakan dalam kejadian di Jalan Jagong, Pandamaran, Klang, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu kesemua suspek dipercayai warga tempatan tiba di hadapan rumah mangsa dengan menaiki dua kereta sebelum memanjat tembok dan memecahkan jeriji pintu utama.

Beliau berkata suspek yang kesemuanya bertopeng kemudian bertindak mengikat tiga mangsa sebelum menggeledah banglo berkenaan serta melarikan wang tunai, patung sembahan dan barang kemas dengan anggaran kerugian sebanyak RM600,000.

“Semasa kejadian, seorang penghuni berjaya menghubungi polis sekitar 6.16 pagi dan anggota peronda yang tiba di lokasi mengesahkan kejadian samun berkawan menggunakan parang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Cha berkata seorang penghuni rumah iaitu lelaki berusia 37 tahun cedera di bahu kiri akibat ditetak dengan parang.

Polis sedang giat memburu suspek selain memohon kerjasama orang ramai untuk tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran atau menghubungi talian 03-33762222 bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.