Nur Alert bantu cari kes kanak-kanak hilang

Oleh: Haikal Tajuddin

PARLIMEN | Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mendakwa sistem Nur Alert yang diwujudkan sememangnya sudah memadai dalam mengurangkan kes kanak-kanak hilang di negara ini.

Beliau berkata, daripada jumlah kanak-kanak yang hilang, seramai 96 peratus telah dijumpai semula dan perkara itu sebagai bukti keberhasilan sistem tersebut.

“Menerusi 96 peratus kes kanak-kanak yang kita temui, ia jelas menunjukkan bahawa sistem Nur Alert ini sememangnya berhasil.

“Namun begitu, ia turut perlu melibatkan bantuan daripada pelbagai pihak jabatan, agensi kerajaan dan kerajaan serta Kementerian Pembangunan Wanita.

“Oleh hal demikian, saya menyambut baik gesaan ahli yang Berhormat supaya sistem ini diberi penambahbaikan jika perlu,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut mendakwa, perundangan Malaysia untuk membanteras kes kanak-kanak hilang yang diguna pakai kini juga dipercayai sudah memadai dan tidak perlu digubal.

“Menerusi kes siasatan yang dibuka sebelum ini juga, banyak darinya adalah ‘rogol’ kes 306 di bawah Kanun Keseksaan, ‘rogol berkumpulan’ kes 305.

“Namun bagi kes 302 yang melibatkan kematian pula adalah sangat sedikit. Bermaksud, apabila dia ikut kawan mahupun kekasih dan cari kebebasan, jadi itu punca hilang berlaku mahupun lari daripada rumah, maka siasatan memang berkaitan dengan rogol.

“Fokus utama sekarang ini adalah untuk tingkatkan program kesedaran terutama keibubapaan. Polis dan Kementerian Wanita akan tingkatkan program kesedaran ini,” ulasnya.

Tambahannya, terdapat tiga negeri iaitu Selangor, Kedah dan Johor yang mencatatkan kes kanak-kanak hilang dan bakal diberi tumpuan kepada negeri tersebut untuk melakukan program kesedaran.

Beliau menggesa pelbagai pihak yang terlibat dengan insiden kanak-kanak hilang untuk segera melakukan laporan dan wajar dihebahkan seluas mungkin menerusi Nur Alert bagi membantu tindakan pencarian.

Anda Mungkin Berminat