Pengecualian Subsidi Diesel Di Sabah, Sarawak Bukan Mainan Politik

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN: Pengecualian Sabah dan Sarawak daripada penyasaran subsidi diesel bukan satu permainan politik dan tidak mencerminkan sifat pilih kasih kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau menafikan kenyataan beberapa pihak bahawa pengecualian tersebut disebabkan faktor tempoh pilihan raya akan datang.

“Agenda penyasaran subsidi diesel merupakan satu reform yang besar yang perlu dilaksanakan secara berperingkat untuk meminimumkan implikasi khususnya kepada golongan yang memerlukan.

“Atas dasar itu, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan subsidi diesel bersasar di Semenanjung terlebih dahulu kerana jurang perbezaan antara Semenanjung, Sabah, dan Sarawak yang sekian lama agak besar,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Armizan menjelaskan bahawa penyasaran subsidi diesel perlu dilakukan secara berperingkat kerana terdapat jurang perbezaan antara negeri-negeri tersebut dan Semenanjung.

Tiga minggu lalu, beliau membentangkan satu nota Jemaah Menteri berhubung pemantauan jurang harga barang antara Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan untuk tempoh Julai hingga September 2024.

“Sejumlah 480 item dipantau dan didapati 65 hingga 68 peratus barang dijual lebih mahal di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung. Kita khuatir jika terdapat implikasi maka akan menambah jurang yang sememangnya lebar dan amat tinggi sebelum ini,” katanya.

Selain itu, Armizan berkata, pertimbangan dalam mengecualikan Sabah dan Sarawak dalam penyasaran subsidi juga mengambil kira penggunaan kereta dan bahan api diesel tinggi yang disebabkan keperluan dan bukannya kehendak disebabkan faktor geografi dan keadaan infra jalan raya.

“Selain itu aspek ketersediaan data profiling dan mekanisme bersesuaian untuk penyaluran subsidi berkenaan bantuan tunai,”* katanya.

Armizan menegaskan naratif mengenai subsidi diesel di Semenanjung dihapuskan perlu diperbetulkan kerana hakikatnya ia masih disalurkan secara bersasar melalui kaedah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) mahupun bantuan tunai individu begitu juga agri-komoditi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat