Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Kes jangkitan mpox di Malaysia meningkat kepada dua kes dengan satu kes baharu dilaporkan pada 25 November 2024.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), secara kumulatifnya terdapat 11 kes mpox sejak 26 Julai 2023.
Jelasnya, kes baharu itu melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari dan terlibat dalam aktiviti berisiko.
“Kes mula menunjukkan gejala ruam pada tangan, badan dan kaki sejak 15 November 2024 dan beliau telah mendapatkan rawatan pada 23 November 2024,” kata KKM dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, pesakit kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani isolasi serta menerima rawatan simptomatik.
“Semua kontak rapat sedang dikenalpasti dan dipantau untuk tanda gejala mpox,” katanya.
Oleh itu, KKM menyarankan orang ramai untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan jika terdapat gejala seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam.
KKM akan terus memantau situasi mpox di dalam dan luar negara serta perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengikuti perkembangan rasmi melalui saluran media sosial KKM.
Baca juga: