Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Cubaan seorang wanita tempatan untuk menyeludup beras lebih 1,000 kilogram (kg) dari Thailand ke Malaysia gagal apabila ditumpaskan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Perdah Satu, Pasir Mas, Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan dilakukan selepas pasukannya menahan sebuah kereta di pangkalan haram dalam Op Taring Wawasan jam 11 malam.
“Hasil pemeriksaan mendapati, lebih 1000 kilogram beras dipercayai di seludup dari Thailand ditemui di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Wira tanpa dokumen yang sah.
“Kereta itu dipandu seorang wanita berusia 46 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup beras itu ke pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, suspek ditahan bersama barang rampasan dan kereta bernilai RM10,000, manakala beras bernilai RM5,320
Jelas beliau, semua barang rampasan akan dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.
Baca juga: