Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN: Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menyangkal dakwaan pengkritik bahawa Malaysia tidak mempunyai hala tuju dalam mempengerusikan ASEAN 2025.
Tegasnya, Malaysia telah menggariskan tiga keutamaan kepengerusian yang beliau nyatakan semasa sesi Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 18 hingga 19 Januari lalu.
Malah ujarnya, kesemua hala tuju tersebut diterima dengan baik oleh rakan-rakan negara ASEAN.
“Pertama, Malaysia akan memberikan tumpuan kepada meningkatkan usaha untuk memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman dan stabil, selamat dan makmur ketika berhadapan cabaran geopolitik antarabangsa semasa.
“Kedua, dari segi ekonomi, Malaysia akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan perdagangan serta pelaburan intra-ASEAN yang masih lagi amat rendah,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai usaha perdagangan dan pelaburan sesama ASEAN dilaksanakan termasuk usaha menaik taraf perjanjian-perjanjian iaitu Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), di mana kedua-duanya direka untuk memperkukuh daya tahan ekonomi di rantau ini.
“Ketiganya, hala tuju kita adalah Malaysia akan mempromosikan sebuah komuniti yang inklusif, mampan dan berdaya saing dengan mengutamakan usaha-usaha untuk merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan kualiti kehidupan dan menangani impak perubahan iklim supaya manfaat ekonomi dan pembangunan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat di rantau ini termasuk kumpulan rentan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah mengenai objektif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam memacu kesatuan, daya tahan, dan relevansi ASEAN dari aspek politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.
Tambah beliau, semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun ini, ASEAN akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan empat pelan strategiknya yang bakal melakar hala tuju strategik rantau ini bagi 20 tahun akan datang.