ARAU: Seorang wanita ditahan selepas didakwa memukul dan mencederakan anak perempuannya sehingga mengalami kecederaan di kepala di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, semalam.
Perkara itu disahkan Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di laman Facebook rasmi pada Selasa.
“Pelaku berkaitan video viral di Pasaraya Borong Din Jejawi,Arau Perlis semalam telah ditangkap,” menurut kenyataan itu ringkas.
Semalam, tular satu video di media sosial yang memaparkan seorang wanita melempiaskan kemarahannya terhadap seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anaknya di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, Arau dengan merentap tangan kanak-kanak malang itu sebelum memukul anaknya.
Tindakan itu menyebabkan anaknya terjatuh dan kepalanya mengalami kecederaan kerana terkena bucu bangku yang berada di hadapan pasar raya itu.
Lapor media tempatan, suspek, 37, yang bekerja sebagai pekerja kantin itu akan di bawa ke mahkamah untuk direman bagi membantu siasatan.
Katanya, anak mangsa berusia empat tahun mengalami luka di bahagian kening sebelah kanan dan sudah pun menerima rawatan susulan selepas kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kes tersebut juga mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang turut mendoakan supaya urusan kanak-kanak tersebut dipermudah.
“Kanak-kanak perempuan telah dibawa oleh Pelindung ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kita doakan semoga semuanya dipermudahkan bagi kanak-kanak perempuan ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman X.
Baca juga: