PETALING JAYA: Sebanyak 661,761 biji kelapa tua bersamaan 661 metrik tan (MT) diimport dan diedarkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi mengatasi kekurangan bekalan kelapa dalam negara.
Menurut kementerian itu, bekalan berkenaan ditempatkan di pusat pengedaran utama seperti Pusat Operasi FAMA Dengkil, Selangor, Pusat Operasi FAMA Senawang, Negeri Sembilan dan Pusat Operasi FAMA Simpang Pulai, Perak.
“Ia melibatkan nilai keseluruhan RM1.45 juta.
“Antara negara yang mengeksport kelapa tua ke Malaysia adalah Indonesia, Thailand dan Sri Lanka
“Bekalan ini akan disalurkan melalui 42 Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara dan dipasarkan ke outlet peruncitan FAMA serta pemborong utama bagi memastikan ketersediaan bekalan di pasaran,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Jelas KPKM, usaha tersebut akan diteruskan sehingga bekalan kelapa dalam negara kembali stabil.
Mengulas lanjut katanya, Jabatan Pertanian (DOA) melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melaksanakan beberapa inisiatif termasuk penanaman semula dan penanaman baharu kelapa, penghasilan pelbagai anak benih kelapa daripada varieti berproduktiviti tinggi seperti kelapa MATAG, Pandan, Malayan Yellow Dwarf (MYD) dan Malayan Red Dwarf (MRD).
Ujar KPKM, ia merupakan langkah jangka masa panjang untuk memastikan bekalan kelapa dalam negara konsisten.
Katanya, kawasan tanah yang telah dikenal pasti melalui kerjasama Kerajaan Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan digunakan untuk penanaman kelapa bagi meningkatkan pengeluaran domestik.
“LPP telah melaksanakan 43 projek penanaman kelapa yang diusahakan bermula tahun 2016 di seluruh negara dengan keluasan seluas 643.42 hektar berkapasiti 123,426 pokok kelapa,” tambahnya.







