PETALING JAYA: Insiden melibatkan seorang warga emas dan individu bukan Muslim yang tular di platform X telah menarik perhatian ramai, sekali gus mencetuskan perbincangan meluas mengenai kepentingan perpaduan dan toleransi antara kaum di Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa kejadian itu tidak mencerminkan semangat muhibah yang menjadi tunjang perpaduan negara.
Beliau menyeru semua pihak agar menghentikan sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian dan menjejaskan hubungan baik antara kaum.
“Malaysia akan terus maju hanya jika rakyat bersatu padu dengan saling menghormati perbezaan, menjunjung prinsip Rukun Negara dan menghindari segala bentuk diskriminasi atau keganasan,” katanya penuh tegas.
Aaron berkata, mangsa, Elijah, telah membuat laporan polis dan pihak berkuasa telah mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Saya berharap agar semua pihak memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, tindakan pantas anak kepada warga emas tersebut yang memohon maaf atas tindakan bapanya telah dipuji kerana membantu menenangkan situasi.
Aaron mengingatkan semua rakyat Malaysia bahawa setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan suasana aman dan harmoni sentiasa terjaga.