PUTATAN: Projek pembinaan 513 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Lok Kawi, Sabah, menjadi tanda penghormatan kepada jasa dan pengorbanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dengan jaminan Kementerian Kerja Raya (KKR) bahawa projek itu akan siap mengikut jadual, harapan terhadap peningkatan kesejahteraan warga ATM kian membara.
KKR dalam satu kenyataan berkata, dengan menggunakan kaedah inovatif seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS), pembangunan itu tidak hanya mempercepatkan tempoh pembinaan tetapi turut menjamin kecekapan dan kualiti binaan.
“Pendekatan ini juga selari dengan Hala Tuju KKR 2025 yang menekankan pembangunan infrastruktur mampan, menepati piawaian alam sekitar dan tadbir urus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Walaupun menghadapi cabaran kekurangan bahan binaan pada peringkat awal, KKR berkata, usaha gigih semua pihak termasuk kontraktor telah menghasilkan pelan mitigasi yang berkesan.
“Setakat 15 Mac 2025, projek yang telah dimulakan pada 8 Mac 2022 telah mencapai status kemajuan projek sebanyak 45 peratus.
“Kini, dengan 45 peratus kemajuan dicapai, momentum kerja semakin meningkat dan diyakini akan terus melangkah ke arah kejayaan,” katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, Projek Reka dan Bina tersebut dibangunkan di atas kawasan seluas 637 ekar dengan kos kontrak bernilai RM188 juta.
Tambah KKR, projek itu bukan sekadar pembinaan kuarters tetapi lambang dedikasi kerajaan terhadap kebajikan anggota ATM bagi memastikan mereka dan keluarga mereka mendapat kemudahan kediaman yang selesa dan berkualiti tinggi.