Oleh: Mohd Khairi Ismail dan Nur Adyani Sabarudin
ULASAN | Pertumbuhan ekonomi suku pertama Malaysia untuk 2025, yang direkodkan pada 4.4 peratus telah menjadi isyarat yang menyedihkan bagi penggubal dasar, pemain industri dan rakyat.
Walaupun banyak ekonomi di seluruh dunia sedang bersiap sedia untuk menghadapi pergolakan di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin memuncak, pertumbuhan yang perlahan sedikit daripada yang dijangkakan menyerlahkan kelemahan asas Malaysia, terutamanya dalam pembuatan dan pembinaan iaitu dua sektor yang sekian lama dianggap sebagai tunjang kekuatan ekonomi negara.
Sekilas pandang, kadar pertumbuhan 4.4 peratus ini kelihatan kukuh. Namun, pemerhatian lebih mendalam mendedahkan arah aliran yang membimbangkan yang tidak boleh diabaikan.

Pengeluaran sektor pembuatan, yang secara tradisinya menjadi tonggak ekonomi Malaysia, telah merosot berikutan permintaan luar yang semakin berkurangan, manakala aktiviti pembinaan kekal perlahan akibat syarat kredit yang lebih ketat dan sentimen pelabur yang berhati-hati.
Petanda-petanda ini menekankan keperluan mendesak untuk Malaysia menilai semula dan melaraskan strategi ekonominya.
Perkembangan global baru-baru ini terutamanya dasar tarif agresif yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat dan tindakan balas oleh China telah mengubah secara asas landskap perdagangan dunia. Sebagai sebuah negara yang sangat bergantung kepada eksport, yang menyumbang hampir 70 peratus daripada KDNK, Malaysia amat terdedah kepada perubahan dinamik global ini.

Sejarah mencatatkan bahawa Malaysia telah banyak meraih manfaat daripada globalisasi, dengan integrasi mendalam dalam rantaian nilai global, terutamanya dalam bidang elektronik, minyak sawit, dan komoditi. Namun begitu, keterbukaan ini kini menjadikan negara lebih terdedah kepada kejutan luaran yang berada di luar kawalan kita.
Petunjuk awal sudah kelihatan membimbangkan: pesanan eksport baharu dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) semakin berkurangan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melaporkan penurunan jualan ke pasaran utama, dan industri minyak sawit menghadapi persaingan yang semakin sengit serta peraturan yang lebih ketat di Eropah.

Sementara itu, prestasi sektor pembinaan yang hambar menambah lagi kebimbangan, iaitu kelemahan sentimen ekonomi domestik. Banyak projek infrastruktur yang dahulunya dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan kini mengalami kelewatan atau telah disusun semula keutamaannya. Pada masa yang sama, pemaju swasta, yang berdepan dengan lambakan hartanah dan kos pembiayaan yang tinggi, mengambil langkah berhati-hati dengan mengurangkan pelancaran projek baharu.
Sikap berhati-hati ini boleh difahami. Dengan kadar hutang isi rumah yang kekal antara tertinggi di Asia serta prospek ekonomi global yang semakin suram, perniagaan dan pengguna memilih untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
Namun begitu, keadaan ini turut memberi kesan negatif kepada ekonomi, kerana pengganda tradisional seperti penciptaan pekerjaan, penggunaan domestik, dan pertumbuhan industri sampingan berkaitan pembinaan tidak berkembang sepenuhnya seperti yang diharapkan.
Kelemahan yang ditonjolkan pada suku pertama ini mesti menjadi pemangkin kepada transformasi strategik yang berani dan menyeluruh. Malaysia tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada permintaan luar atau berharap kepada lama. Sebaliknya, pendekatan pelbagai strategi perlu segera dilaksanakan.
Kepelbagaian Rakan Perdagangan

Pertama mesti diberi keutamaan iaitu Penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) adalah langkah positif, tetapi perlu diperkukuhkan lagi dengan membina hubungan dengan pasaran baru muncul di Asia Selatan, Afrika, dan Timur Tengah.
Ini kerana rantau-rantau yang kurang terlibat dalam perang perdagangan AS-China, jadi mereka adalah pasaran yang lebih stabil untuk perdagangan Malaysia.
Perkasa ekonomi domestik
Kedua ekonomi domestik harus menjadi teras kepada strategi Malaysia. Ini melibatkan mempercepatkan pembaharuan untuk menggalakkan inovasi, mengurangkan kesesakan peraturan untuk PKS, dan melabur secara agresif dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja. Daya saing masa depan Malaysia bergantung pada keupayaan kita untuk beralih daripada pembuatan tradisional kepada sektor bernilai tinggi seperti automasi, integrasi AI, bioteknologi, dan teknologi hijau.
Teliti dan cekap

Ketiga, perbelanjaan infrastruktur yang disasarkan secara teliti dan dilaksanakan dengan cekap boleh membantu mengimbangi kelembapan dalam sektor swasta. Pelaksanaan projek-projek mampan yang sejajar dengan matlamat kelestarian iklim dan inisiatif bandar pintar dapat merancakkan semula sektor pembinaan tanpa menambah tekanan terhadap kedudukan fiskal negara.
Berhati-hati
Akhir sekali, kehematan fiskal mesti dikekalkan. Ketidakpastian global memerlukan tindakan pengimbangan yang berhati-hati, sementara rangsangan jangka pendek mungkin diperlukan untuk mengatasi kejutan, penyatuan jangka sederhana adalah penting untuk melindungi penarafan kredit berdaulat Malaysia dan mengekalkan keyakinan pelabur.
***Mohd Khairi Ismail ialah Felo Penyelidik Pasca Kedoktoran di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya manakala Nur Adyani pula berkhidmat di Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, INTI International University.