Karnival Kerjaya Nasional KPT 2025: Persiap Graduan Untuk Masa Depan Pekerjaan

KUALA LUMPUR: Dunia pekerjaan terus mengalami perubahan drastik dengan kemunculan teknologi baharu dan transformasi ekonomi global.

Menurut Laporan World Economic Forum (WEF) 2024, sebanyak 92 juta pekerjaan dijangka lenyap menjelang 2030, namun lebih 170 juta peluang baharu akan tercipta dalam bidang seperti teknologi, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital.

Menyedari keperluan ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Talentbank dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) buat pertama kalinya menganjurkan Karnival Kerjaya Nasional KPT 2025 yang bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan industri.

Majlis perasmian yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau dalam ucapannya, menekankan kepentingan reformasi radikal dalam pendidikan tinggi agar selari dengan keperluan masa depan.

“Kita tidak lagi boleh melihat pekerjaan dan kerjaya dengan lensa lama.

“Sebaliknya, kita mesti melaksanakan reformasi radikal terhadap pendidikan tinggi dari kurikulum hingga ke budaya pembelajaran agar selari dengan keperluan dan cabaran masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, lebih 100 syarikat berprofil tinggi dari pelbagai sektor seperti teknologi, kewangan, kesihatan, automotif, logistik, makanan dan kejuruteraan menyertai karnival ini dan membuka peluang kepada graduan untuk membina jaringan dan meneroka prospek kerjaya baharu.

Katanya, pendekatan ‘quadruple helix’ yang menyatukan kerajaan, industri, universiti dan masyarakat turut menjadi fokus acara bagi memastikan graduan bukan sahaja memiliki ilmu akademik tetapi juga kemahiran industri, nilai keusahawanan dan kecerdasan sosial yang diperlukan dalam ekosistem pekerjaan moden.

Menambah lagi kejayaan penganjuran, karnival ini menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai “The Largest Employer Participation in Career Fair di Malaysia” dan menjadikan KPT sebagai pemacu utama kebolehpasaran graduan negara.

Karnival ini berlangsung pada 14 dan 15 Jun 2025 di MITEC, Kuala Lumpur.

Anda Mungkin Berminat