KUALA LUMPUR: Polis telah memulakan siasatan ke atas satu video tular di TikTok yang menampilkan seorang individu mirip bekas Ketua Polis Negara ke-13, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang didakwa menerima wang daripada seorang bergelar Datuk.
Video tersebut mendakwa kononnya Acryl menerima bantuan kewangan daripada Abdul Ghani dan bahawa sejumlah wang telah dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Namun, hasil siasatan awal mendapati video tersebut telah dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan niat untuk menipu dan mengelirukan orang awam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan perkara itu.
“Video itu palsu, dimanipulasi guna AI dan berniat mengelirukan.
“Bekas Ketua Polis Negara (Arcyl) telah buat laporan menafikan perkara ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana penyamaran dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Pihak polis turut memberi amaran keras terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan teknologi AI untuk penyamaran atau penyebaran fitnah.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkongsi kandungan seumpama itu tanpa pengesahan.