Dua remaja diperdaya hantar gambar bogel kepada lelaki menyamar doktor

PETALING JAYA: Polis Perak telah membuka kertas siasatan berhubung kes dua pelajar perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai menjadi mangsa seksual dalam talian.

Mereka dipercayai diperdaya menghantar gambar bogel kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor perubatan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kedua-dua remaja itu pada awalnya dihubungi melalui aplikasi Telegram oleh seorang individu yang mendakwa dirinya seorang guru, sebelum memperkenalkan mereka kepada seorang lelaki lain yang disifatkan sebagai doktor profesional.

“Hasil siasatan mendapati suspek telah memperdaya mangsa untuk menyerahkan maklumat peribadi serta maklumat keluarga.

“Mangsa turut diminta menghantar beberapa keping gambar tidak berpakaian kononnya bagi tujuan pemeriksaan kanser serviks dan payudara melalui gambar semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Hasbullah, kedua-dua mangsa menyedari mereka telah diperdaya selepas memaklumkan kejadian tersebut kepada guru mereka, sebelum membuat laporan polis kerana bimbang gambar-gambar tersebut tersebar.

Susulan laporan tersebut, kes kini disiasat di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan kesalahan menggunakan kanak-kanak bagi penghasilan kandungan seksual.

Dalam pada itu, Hasbullah mengingatkan ibu bapa serta pendidik agar lebih berwaspada dan memantau aktiviti dalam talian anak-anak, terutamanya melibatkan aplikasi pesanan.

“Anak-anak perlu sentiasa diingatkan supaya tidak berkongsi maklumat peribadi dengan individu yang tidak dikenali. Orang ramai juga digesa untuk mengaktifkan ciri keselamatan seperti pengesahan dua langkah di aplikasi mesej untuk melindungi akaun masing-masing,” ujarnya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Nur Munawarah Ahmad di talian 011-1624 0391, Bilik Gerakan IPD Manjung di 05-688 6222, atau WhatsApp Hotline Polis di 017-682 8005.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat