Kapal Bantuan Handala Diserbu, 19 Aktivis Ditahan Tentera Israel

GAZA: Tentera laut Israel menyerbu kapal bantuan kemanusiaan Handala yang cuba menembusi sekatan maritim menuju ke Semenanjung Gaza, lalu menahan 19 aktivis dan dua wartawan antarabangsa yang berada di atas kapal.

Menurut laporan Agensi Anadolu, kapal Handala merupakan misi kendalian Freedom Flotilla Coalition yang membawa bekalan bantuan untuk lebih dua juta penduduk Gaza yang kini menderita akibat perang berlarutan dan sekatan berterusan.

Handala memulakan pelayaran dari pelabuhan Sicily pada 13 Julai dengan hasrat menyalurkan bantuan kemanusiaan secara langsung.

Namun, pada lewat malam Sabtu, kapal itu diserbu oleh komando bersenjata Israel dalam satu operasi yang turut disiarkan secara langsung.

Rakaman menunjukkan aktivis duduk di dek dengan tangan diangkat ketika tentera menyerbu.

Menyedari risiko penahanan, para aktivis telah bersumpah untuk melancarkan mogok lapar sekiranya mereka ditahan.

“Kami tidak akan berundur. Jika ditahan, kami akan mogok lapar,” tegas aktivis Huwaida Arraf dalam satu kenyataan.

Freedom Flotilla Coalition kini menyeru masyarakat antarabangsa agar mengenakan tekanan terhadap kerajaan masing-masing supaya menamatkan sekatan Israel ke atas Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan sampai ke rakyat yang terjejas.

Dalam perkembangan lain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan pihaknya akan memulakan penghantaran bantuan melalui udara (airdrop) serta-merta bagi membantu penduduk Gaza.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggesa Israel agar membuka laluan darat untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan lebih berkesan.

Anda Mungkin Berminat