PETALING JAYA: Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik dan Jeli direkodkan sebagai lokasi tertinggi insiden kematian hidupan liar akibat pelanggaran kenderaan.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) memandang serius isu ini dan tampil memperkukuh tindakan mitigasi bersama agensi berkaitan.
Menurut Jabatan PERHILITAN, lebih 2,300 kes roadkill direkodkan dari tahun 2020 hingga 2024 di seluruh negara.
Satu sesi meja bulat peringkat tertinggi telah diadakan pada 17 Julai lalu melibatkan kementerian, agensi teknikal dan sektor swasta untuk tangani isu di JRTB secara menyeluruh.
“Ini bukan lagi soal statistik, tetapi soal nyawa spesies terancam,” kata NRES dalam satu kenyataan.
Langkah awal termasuk papan tanda amaran, pendidikan pemandu, dan perundangan lebih tegas bagi zon ekologi berisiko tinggi seperti JRTB.
WWF-Malaysia turut menandatangani perjanjian dengan Persatuan Peniaga Alat Ganti Kejuruteraan dan Kenderaan Selangor dan Wilayah Persekutuan (EMPTA) bagi mendidik pemain industri logistik agar lebih peka terhadap keselamatan hidupan liar.
Usaha ini sejajar dengan Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah Kebangsaan (NECAP 2.0) dan bertujuan memastikan keselamatan gajah dan pengguna jalan raya terjamin untuk masa depan lestari.
Baca juga:








