Dakwaan kenyataan fitnah, polis rakam keterangan Siti Mastura

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil keterangan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, pada Isnin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, setakat ini pihaknya menerima empat laporan polis berhubung isu berkenaan.

“Siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

“Keterangan Dr. Siti Mastura akan diambil pada 13 November 2023 (Isnin),” katanya kepada media pada Ahad.

Jelas Shuhaily, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, melalui rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat itu, Siti Mastura pada suatu majlis di Kemaman, Terengganu baru-baru ini, mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, adalah sepupu kepada ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Selain itu, Siti Mastura dalam rakaman itu juga mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang selain mengaitkan isteri Guan Eng dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Beliau turut mendakwa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa Kok mempunyai hubungan kekeluargaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat