Anwar Hubungi Setiausaha Negara AS, Desak Pembebasan Aktivis Sumud Flotilla

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, petang ini bagi mendesak campur tangan segera dalam usaha membebaskan 23 rakyat Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Langkah itu, menurut Anwar, adalah sebahagian daripada usaha diplomatik intensif yang sedang digerakkan kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa untuk menjamin keselamatan aktivis dan sukarelawan negara serta memastikan bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat disalurkan tanpa halangan.

“Kerajaan sedang memanfaatkan segala saluran diplomatik yang sedia kuat di peringkat antarabangsa untuk membebaskan aktivis dan sukarelawan Malaysia.

“Apa yang didakwa sebagai kesalahan mereka hanyalah kerana membawa prinsip kemanusiaan, membantu yang lemah, kelaparan dan sakit termasuk wanita serta kanak-kanak,” katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan pihak Arab Saudi untuk mendapatkan sokongan serantau dalam menangani insiden tersebut.

Insiden penahanan itu berlaku awal pagi tadi apabila kapal GSF yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim, menjelaskan bahawa misi tersebut tidak melanggar sebarang undang-undang antarabangsa kerana ia bertujuan semata-mata untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berterusan.

Anda Mungkin Berminat