Runtuhan Surau KAFA, Menteri Arah JAKIM Salur Bantuan Segera

KUALA LUMPUR: Kejadian runtuhan sebuah bangunan yang turut melibatkan surau Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) pada Rabu mencetuskan kebimbangan ramai, namun kecekapan pasukan penyelamat berjaya memastikan semua mangsa diselamatkan dengan selamat.

Menurut maklumat awal, para pelajar KAFA yang berada di lokasi ketika kejadian telah berjaya dikeluarkan dengan sebahagian daripada mereka hanya mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mangsa telah menerima rawatan segera daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

“Saya merakamkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam atas kejadian runtuhan bangunan yang turut melibatkan sebuah surau Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) seperti yang dilaporkan oleh pihak media,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pasukan perubatan KKM dan pihak berkuasa tempatan.

“Saya mengucapkan penghargaan kepada semua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pasukan perubatan KKM, pihak berkuasa tempatan dan semua yang terlibat atas kecekapan serta keprihatinan mereka melaksanakan tugas menyelamat dengan pantas dan berkesan,” katanya.

Sebagai langkah susulan, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyalurkan bantuan segera kepada pihak surau KAFA yang terjejas serta memastikan kerja-kerja pembaikan dan penilaian keselamatan dilaksanakan dengan segera.

“Sehubungan dengan kejadian ini saya mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyalurkan bantuan segera bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pihak surau KAFA serta memastikan langkah pembaikan dan keselamatan diambil dengan kadar segera,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut mendoakan kesembuhan buat semua mangsa dan menyeru agar aspek keselamatan diberi keutamaan di semua premis pendidikan Islam di seluruh negara.

“Semoga semua mangsa diberi kesembuhan segera oleh Allah SWT dan semoga insiden ini menjadi peringatan agar aspek keselamatan diutamakan dalam setiap premis pendidikan Islam di negara ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat