KUALA LUMPUR: Selepas Datuk Wan Saiful Wan Jan lantang mengkritik bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Marzuki Yahya, kini giliran Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tampil mempertahankan tokoh itu yang disifatkannya sebagai antara penggerak utama penubuhan parti berkenaan.
Dalam satu kenyataan di media sosialnya, Naib Presiden Bersatu itu menyifatkan Dr Marzuki sebagai seorang pemimpin berpegang teguh pada agama, amanah serta memiliki kredibiliti tinggi.
“Beliau seorang yang lemah lembut, serius dalam perbualan dan tegas dalam tanggungjawab. Tapi kualiti paling menyerlah padanya ialah pegangan agama, kredibiliti dan sifat amanah yang boleh dijadikan teladan,” kata Faizal.
Menurut beliau, peranan Dr Marzuki sangat besar semasa penubuhan Bersatu, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir memimpin usaha mengumpul tandatangan rakyat melalui Deklarasi Rakyat.
“Setiap keputusan penting ketika membina wadah perjuangan baharu orang Melayu itu tidak terlepas daripada penglibatan Dr Marzuki,” katanya sambil menambah bahawa bekas Setiausaha Sulit Kanan Muhyiddin itu “memperhambakan diri tanpa mengenal penat lelah” demi perjuangan parti.
Dalam kenyataan sama, Faizal secara sinis menyindir beberapa bekas pemimpin yang menurutnya cuba memburukkan Dr Marzuki, walaupun suatu ketika dahulu mendapat peluang dan kepercayaan hasil bantuannya.
“Kita semua faham pepatah ‘kacang lupakan kulit’. Tapi tak payahlah sampai nak gigit tangan yang pernah mengangkat kamu,” tulisnya.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada siri kenyataan pedas oleh Wan Saiful, yang sebelum ini mengkritik kepimpinan lama Bersatu termasuk Dr Marzuki berhubung isu kehadiran pihak luar dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Mengulas lanjut isu kehadiran individu bukan ahli MPT dalam mesyuarat, Faizal menjelaskan bahawa amalan menjemput pegawai Presiden atau pimpinan negeri bukan sesuatu yang luar biasa dalam Bersatu.
“Sejak awal penubuhan parti, perkara ini sudah jadi amalan biasa. Bahkan, ketika saya mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan, Setiausaha Agung juga menjemput Setiausaha Politiknya dan saya tiada halangan,” katanya.
“Sebagai ahli MPT, sesiapa pun boleh menegur Presiden jika tidak setuju. Tapi seingat saya, belum pernah perkara ini dibangkitkan. Cuma, bila sudah dipecat, semua perkara dikatakan tak betul,” sindirnya lagi.
Kenyataan Faizal itu dilihat sebagai tindakan balas dalaman terbaru dalam kem Bersatu selepas perbalahan terbuka melibatkan beberapa tokoh utamanya sejak pemecatan beberapa ahli baru-baru ini.
Baca juga:








