SHAH ALAM: Empat individu ditahan kerana menunggang secara berbahaya dalam Operasi Khas Bersepadu yang dijalankan di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) awal pagi Ahad, membabitkan seramai 210 penunggang motosikal.
Menurut kenyataan media Polis Kontinjen Selangor, operasi yang bermula pukul 1.30 pagi itu turut membawa kepada sitaan sebanyak 48 buah motosikal di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi tersebut bertujuan membanteras aktiviti samseng jalanan yang semakin berleluasa di lebuh raya berkenaan.
“Sebanyak 105 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang operasi yang dengan tujuan membanteras aktiviti samseng lumba haram,” katanya.
Pasukan penguat kuasa mula bergerak ke lokasi pada pukul 1.30 pagi, sebelum penutupan penuh dilakukan di kedua-dua arah Lebuh Raya KESAS bermula pukul 3.30 pagi.
Penutupan itu melibatkan 25 simpang utama dari KM18 hingga KM26, kawasan yang dikenal pasti sebagai tumpuan perlumbaan haram.
Kesemua motosikal dan penunggang yang ditahan dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bermula pukul 4.15 pagi untuk tindakan lanjut.
Shazeli turut memaklumkan bahawa lima penunggang didapati positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), melibatkan tiga kes positif ganja dan dua kes positif ketum.
“Pemeriksaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap lapan motosikal pula mendapati tiga menerima notis saman kerana pengubahsuaian ekzos melebihi had bunyi dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiatkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya khususnya di lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ perlumbaan haram.
Difahamkan, operasi yang berakhir pada pukul 9.15 pagi itu melibatkan kekuatan seramai 183 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk JSPT IPK Selangor, JSPT Lebuhraya Bukit Aman, Unit Risikan dan Operasi JPJ, JAS, AADK serta Konsesi Lebuhraya KESAS.








