Dewan Rakyat Tamat, 15 RUU Termasuk Belanjawan 2026 Dilulus

PETALING JAYA: Selepas berlangsung selama 35 hari sejak 6 Oktober lalu, Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas melabuhkan tirainya pada Khamis dengan pelbagai pencapaian penting termasuk kelulusan 15 Rang Undang-Undang (RUU) serta RUU Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026).

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, dalam ucapan penangguhan mesyuarat menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen, pegawai kerajaan, warga Parlimen dan media atas kelancaran persidangan kali ini.

Beliau turut merakamkan tahniah atas kerjasama menjayakan pemeriksaan kesihatan yang dianjurkan sepanjang tempoh persidangan.

“Dewan Rakyat telah meluluskan Usul Laporan Ketua Audit Negara 3/2025, 15 RUU termasuk RUU Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) serta dua usul Kementerian.

“Selain itu, empat Penerangan Menteri dan enam Penerangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan turut dibentangkan.

“Saya merakamkan syabas dan tahniah kepada Ahli-ahli Yang Berhormat (Ahli Parlimen) atas kerjasama menjayakan pemeriksaan kesihatan serta penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia atas inisiatif tersebut,” katanya.

Tahun ini juga menyaksikan Parlimen Malaysia menganjurkan Persidangan Ke-46 AIPA serta meneruskan program Sekolah Parlimen sebagai usaha memperkukuh kefahaman belia terhadap institusi Parlimen.

Johari berkata, inisiatif merakyatkan Parlimen akan terus diperkasa pada tahun hadapan.

“Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai kerajaan, warga Parlimen, media massa dan semua pihak yang terlibat atas kelancaran persidangan ini.

“Selamat pulang dan selamat sampai ke destinasi masing-masing,” katanya.

Selain meluluskan Belanjawan 2026, persidangan kali ini turut menyaksikan pembentangan Usul Laporan Ketua Audit Negara 3/2025, dua usul kementerian, empat penerangan menteri serta enam penerangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan.

Tahun 2025 juga mencatat sejarah apabila Parlimen Malaysia menjadi tuan rumah kepada Persidangan Ke-46 AIPA, di samping meneruskan program Sekolah Parlimen sebagai usaha memperkukuh kefahaman belia terhadap institusi demokrasi negara.

Dengan penangguhan ini, Dewan Rakyat akan bersidang semula pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Anda Mungkin Berminat