Oleh: Tyah Helmi
KUANTAN: Program Ziarah Madani sempena Tahun Baharu Cina menjadi bukti komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Menerusi kenyataan media pada Sabtu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, inisiatif yang dilaksanakan pada minggu lalu yang dilaksanakan ke atas masyarakat cina dalam Parlimen Indera Mahkota adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mendekati masyarakat serta mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi.
“Minggu lepas, saya dan pasukan telah mengadakan Ziarah MADANI ke atas masyarakat cina dalam Parlimen Indera Mahkota sempena ambang sambutan Tahun Baharu Cina.
“Usaha ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mendekati masyarakat serta mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Farhan menjelaskan, program ziarah tersebut melibatkan lawatan hingga ke 10 buah rumah yang terdiri daripada penerima berdaftar dalam sistem e-Kasih di sekitar kawasan DUN Semambu.
Antara kawasan yang terlibat ialah, Bukit Setongkol, Chenderawasih, Bukit Sekilau, Air Putih dan Kampung Padang.
Justeru, menerusi pendekatan turun pandang itu, Kerajaan Madani menggunakan ruang dan peluang yang digunakan sepenuhnya untuk berinteraksi secara langsung dengan keluarga terlibat selain memahami cabaran kehidupan seharian yang mereka hadapi khususnya berkaitan kos sara hidup, kesihatan serta kebajikan keluarga.
Kata beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang diziarahi sebagai tanda keprihatinan dan sokongan serta meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut perayaaan Tahun Baharu Cina.
Difahamkan, lawatan itu turut disertai oleh pasukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Negeri Pahang (ICU JPM Pahang) yang diketuai oleh Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Razihan Adzharuddin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang serta Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membuat bancian dan melihat potensi bantuan yang boleh disalurkan kepada para penerima. .
“Pendekatan mendengar, memahami dan bertindak secara langsung di lapangan akan terus diperkasakan sebagai asas kepada tadbir urus berteraskan nilai ihsan, empati dan keadilan sosial,” ujarnya.
Baca juga:








