Malaysia Catat 503 Kes Baharu Batuk Tibi

PETALING JAYA: Malaysia merekodkan sebanyak 503 kes baharu Tuberkulosis (TB) pada Minggu Epidemiologi kelima, menjadikan jumlah keseluruhan kes di seluruh negara setakat ini meningkat kepada 2,571 kes.

Menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad, laporan perangkaan setakat hujung minggu lalu menunjukkan Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 614 kes, diikuti Selangor (476), Sarawak (257), Johor (233) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya (202).

Negeri lain yang turut merekodkan kes ialah Pulau Pinang (148), Kedah (144) dan Perak (127).

Sementara itu, negeri-negeri yang merekodkan kurang daripada 100 kes termasuk Kelantan (96), Pahang (81), Terengganu (60), Negeri Sembilan (58), Melaka (42), Perlis (17) dan Labuan (16).

Susulan peningkatan kes ini, KKM menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada terutama menjelang musim perayaan dan cuti panjang dengan mengamalkan langkah pencegahan seperti etika batuk dan bersin yang betul serta memakai pelitup muka di kawasan sesak.

“Individu yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan atau susut berat badan digesa menjalani saringan segera di fasiliti kesihatan terdekat,” katanya.

KKM menegaskan bahawa langkah pencegahan ini berteraskan prinsip penilaian risiko kendiri dan merupakan tanggungjawab sosial penting dalam melindungi diri, keluarga serta komuniti daripada penularan penyakit berjangkit.

Anda Mungkin Berminat